Kes rasuah VLN: Pendakwaan tarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi lepas, bebas Zahid
PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN).
Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memaklumkan demikian kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali hari ini yang kemudian membatalkan semua rayuan difailkan pihak pendakwaan berhubung kes berkenaan.
Dua lagi panel hakim Mahkamah Rayuan bersidang bagi prosiding berkenaan ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.
Dengan keputusan berkenaan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kekal lepas dan bebas daripada 40 tuduhan rasuah seperti keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Disyorkan
- Fattah, Fazura berhubung melalui PA
- Tindakan pantas kumpulan pemberontak tamatkan regim Assad di Syria
- Tak sanggup berpisah, wanita warga Indonesia bawa pegawai imigresen serbu kediaman sendiri
- Joey sengaja tak celah komen Mas Idayu elak kontroversi
Terdahulu, Yusaini memaklumkan, AGC telah menerima representasi dikemukakan oleh Ahmad Zahid berkenaan rayuan itu.
Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tanpa mengarahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pihak pendakwaan kemudian memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.
Presiden UMNO itu mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.
Ia bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri untuk membekalkan sistem bersepadu VLN.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Ahmad Zahid turut berdepan 33 pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lain, beliau didakwa memperoleh wang tunai S$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss dan AS$15,000 untuk diri sendiri daripada syarikat sama yang beliau tahu ada kaitan dengan kedudukan rasminya.
Ahmad Zahid didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.

Leave a Reply