Zuraida perlu bayar RM100,000 bukan RM10 juta kepada PKR
Oleh

PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin hanya perlu membayar ganti rugi RM100,000 kepada parti itu kerana melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk See Mee Chun membenarkan sebahagian rayuan beliau selepas berpuas hati amaun RM10 juta itu adalah keterlaluan dan tidak munasabah.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM10 juta kepada parti itu.
Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta dan kos RM50,000 selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.
Pada September 2020, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memulakan saman bagi pihak parti itu dengan mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.
PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Parti itu mendakwa pada 24 Februari 2023, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain telah mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. – MalaysiaGazette
Leave a Reply