Bekas timbalan menteri UMNO sertai PKR

Bekas timbalan menteri UMNO sertai PKR

bhnews@bh.com.my

facebook sharing button
whatsapp sharing button
twitter sharing button
https://youtube.com/watch?v=oTmcgmIi_JQ%3Fautoplay%3D1

PADANG BESAR: Hampir dua tahun menyepi daripada politik, bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin muncul semula, kali ini bersama wadah baharu, PKR.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar yang pernah menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu hadir Program Sumbangan Prihatin MADANI dan pelancaran ranting baharu PKR bahagian berkenaan di pejabatnya di Taman Beseri, Beseri, di sini hari ini.

Tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam PKR setakat ini, Zahidi berkata, beliau berharap dapat mewujudkan 400 lagi cawangan parti itu di Perlis, tambahan kepada 60 sedia ada supaya dapat menambah sokongan rakyat dalam meraih kemenangan pada pilihan raya di negeri ini.

Memaklumkan penyertaannya dalam parti itu direstui Presiden PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas pemimpin UMNO itu berkata, beliau mahu memastikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) merampas semula Perlis daripada Perikatan Nasional (PN).

Disyorkan

Katanya yang kini Penyelaras MADANI Padang Besar, beliau tidak berasa janggal untuk kembali bekerjasama dengan UMNO, parti yang memecatnya dahulu disebabkan bertanding atas tiket Bebas bagi kerusi Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Zahidi digugurkan sebagai calon BN di Parlimen Padang Besar, namun bertanding sebagai calon Bebas, menyebabkan keahliannya dalam UMNO gugur dan beliau tewas di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Hari ini kita memanggil bekas ketua cawangan (UMNO), pemimpin masyarakat dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dalam menggerakkan penubuhan ranting PKR, terutama di kawasan Padang Besar.

“Kita menyasarkan penubuhan lagi 400 ranting PKR di seluruh Perlis menjelang PRU depan di mana lebih 100 daripadanya di Padang Besar. Ini memberi gambaran hasrat kita untuk bawa negeri ini kepada kepada Kerajaan Perpaduan gabungan PH dan BN pada PRU hadapan.

“Setakat ini, PKR ada sekitar 60 ranting dan kita ingin menambah lagi seiring dengan kewujudan cawangan UMNO di negeri ini,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden PKR, Datuk Romli Ishak.

Bekas Ahli Parlimen Padang Besar dari 2013 hingga 2022 itu berkata, hasrat menambah cawangan PKR di Perlis sudah mendapat restu Anwar serta pimpinan lain di peringkat Pusat seperti Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.

“Saya tidak ada jawatan khusus dalam PKR dan segala dilakukan secara sukarela, tugas untuk menubuhkan ranting PKR sudah diserahkan kepada saya oleh parti untuk berbincang dengan kawan (PKR Perlis) lain untuk tubuhkan banyak lagi ranting PKR di negeri ini.

“Kita nak sama dengan UMNO. Jika PKR hanya ada 40 ranting, UMNO pula ada 300 cawangan, bagaimana pembahagian kerusi (pilihan raya nanti) hendak dibincangkan.

“Kalau boleh dalam perbincangan bersama UMNO Perlis kelak, kita hendak usulkan juga agar tiap-tiap kawasan Parlimen, iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar dapat dilakukan pembahagian kerusi Parlimen dan DUN.

“Jika boleh, setiap Parlimen dan juga 15 DUN mempunyai pembahagian tiga wakil PH dan tiga juga wakil UMNO. Kerjasama perpaduan seperti ini akan jadikan PH dan UMNO lebih kuat dan atas semangat ini juga, kita mampu mengambil balik Perlis pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Ditanya kemungkinan kembali menyertai parti lamanya, beliau menolak segala kemungkinan, sebaliknya memilih untuk terus berjuang bersama PKR kerana menganggap penyertaan dalam parti baharunya itu lebih dialu-alukan, selain tidak mahu wujud lagi perpecahan dalam UMNO Perlis dan Padang Besar.

“Nak panggil balik saya (sertai UMNO) susah sikit, untuk apa? Saya tidak mahu ketua bahagian dan timbalan ketua bahagian (UMNO) yang ada fikir apabila saya sertai UMNO semula, mereka terpaksa berundur disebabkan kemunculan saya.

“Ini hanya akan menyebabkan perpecahan lagi dalam UMNO, jadi saya lebih baik saya bersama PKR kerana ramai pujuk dan alu-alukan saya untuk sertai parti ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan, hubungannya dengan bekas Pengerusi UMNO negeri dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim tetap baik walaupun bekas Menteri Besar Perlis itu kini dalam saf kepimpinan PAS Pusat sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja.

“Hubungan saya dengan ramai ketua UMNO cawangan juga baik, jadi saya memilih persahabatan dengan mereka yang banyak membantu menaikkan saya ketika dalam UMNO.

“Saya masih berhubung baik dengan Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Apabila saya dipecat dahulu, saya faham dan terima pemecatan saya,” katanya.

Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Datuk Zahidi Zainul Abidin.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *