See more: ‘Hidup kami tak lagi seindah dahulu’

Mangsa 1
Munazira Md Nazir, 32
Kuala Lumpur: “Saya cuma mengharapkan individu yang melanggar suami saya sehingga meninggal dunia datang meminta maaf dan melihat wajah dua anak kami yang masih kecil ini,” kata Munazira Md Nazir, 32, isteri kepada mangsa kemalangan yang meninggal dunia, Syarifudin Abu Bakar, 31.
Pada 3 Julai lalu, Syarifudin meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Elite pada jam 9 malam.
- Media perlu bantu sebar maklumat berkaitan hal ehwal agama
- Fosil Stegosaurus berharga AS$44.6 juta dipamerkan
- Rasuah projek RM250 juta, pengarah bergelar datuk, penjawat awam ditahan
- Balai cerap China rakam imej asteroid jatuh ke bumi
- ‘Jika saya kembali… kena terima idealisme saya lihat UMNO berubah’ – Khairy
Motosikal ditunggang Syarifudin dipercayai cuba mengelak kayu sebelum dilanggar kenderaan lain sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi jadian. Munazira berkata, sebelum kejadian itu berlaku dia sempat menghubungi suaminya kali terakhir pada jam 7 malam.
“Saya dimaklumkan suami mengelak kayu di atas jalan. Kemudian ada kenderaan lain melanggarnya sehingga meninggal dunia. Perkara paling saya kesalkan sehingga kini ialah pemandu kenderaan itu tidak memberhentikan kenderaan dan melihat keadaan arwah suami.
“Saya faham mungkin pemandu berkenaan takut dikenakan tindakan undang-undang tetapi sikap bertanggungjawab itu lebih penting. Apatah lagi, kami mempunyai dua anak yang masih kecil yang berusia dua dan empat tahun,” katanya.
Katanya, tidak dinafikan selain gangguan emosi kerana kehilangan suami dan ayah kepada dua cahaya mata, dia juga sentiasa memikirkan mengenai nasib dua anaknya terutama aspek ekonomi keluarga.
“Kami sudah berkahwin lima tahun, susah senang bersama. Apabila arwah sudah tiada segala-galanya saya perlu uruskan sendiri. Walaupun saya berkerja tetapi pendapatan saya tidak sebesar mana.
“Sekiranya suami masih ada kami sentiasa berkongsi untuk memberi keselesaan kepada keluarga terutama anak-anak yang masih kecil. Mereka kini sudah hilang seorang bapa,” katanya.
Katanya, sejak pemergian suaminya, tingkah laku anak-anak juga berbeza apabila sering bertanyakan mengenai bapa mereka yang tidak pulang ke rumah.
“Kemalangan ini memberi kesan kepada psikologi dan kewangan keluarga. Apatah lagi jika berlaku kepada keluarga yang masih mempunyai anak-anak yang masih kecil seperti saya,” katanya.
Mangsa 2
Abdul Razak Mujit, 53
Kehilangan lapan anak sekelip mata dalam satu kemalangan membabitkan treler yang yang merempuh tiga kereta di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan tengah (Elite) pada 17 Disember 2022 sememangnya menjadi titik hitam dalam hidup Abdul Razak Mujit, 53.
Setiap kali dia melihat anak-anak kecil yang bermain di depan matanya, rasa rindu tidak pernah pudar mengingatkan kehilangan lapan anaknya yang ketika itu berusia antara 10 bulan hingga 17 tahun. Abdul Razak berkata, meskipun kejadian itu sudah berlalu tiga tahun lalu, tetapi kesan kepada kejadian itu masih berbekas sehingga ke hari ini terutama membabitkan psikologi dirinya.
Katanya, dia juga beberapa kali berjumpa dengan kaunselor bagi membantu tekanan yang dialaminya akibat kejadian itu kerana ia bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilupakan.
“Saya tak boleh tengok kalau ada budak-budak. Pasti perasaan itu kembali semula. Apabila balik ke rumah pula melihat barangan anak-anak seperti mainan mereka, ia memberi kesan psikologi yang cukup mendalam kepada saya.
“Rasa tekanan itu memang tidak boleh dinafikan tetapi saya cuba untuk tabahkan hati dengan melihat mungkin pencipta lebih sayangkan mereka. Macam mana kita kuat sekali pun, perasaan itu akan tiba dan mengingatkan kembali kenangan yang pernah ada dengan anak-anak,” katanya.
Jelasnya, rakan-rakan yang terdekat terutama di tempat kerja banyak memberi sokongan moral kepadanya secara peribadi supaya dapat menerima kejadian itu.
“Namun, apabila berada di rumah,saya akan teringatkan anak-anak dan menjadi mudah sedih,” katanya.
Menurutnya, dia menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan dan jangan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan sesuka hati kerana ia boleh menyebabkan kemalangan.
Mangsa 3
Nurainura Nadzim
“Orang lain semua ada ibu dan ayah kenapa saya ada datuk dan nenek sahaja?” soal salah seorang anak mangsa kemalangan yang meninggal dunia lima tahun lalu kepada ibu saudaranya, Nurainura Nadzim, 26.
Pada 2017, Sairulazuwan Nadzim, 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, yang maut bersama Muhammad Daris Iffat yang berusia tiga bulan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, tiga sekeluarga maut dalam kemalangan di Kilometer 21, Jalan Sitiawan-Teluk Intan berhampiran Kampung Kayan.
Akibat tragedi itu tiga anak lelaki pasangan berkenaan, Muhammad Daris Wafiy berusia 10 tahun, Muhammad Daris Rayyan, sembilan, dan Muhammad Daris Amsyar, lima, menjadi anak yatim piatu.
Kini Muhammad Daris Wafiy sudah berusia 17 tahun, Daris Rayyan, 16 tahun , dan Daris Amsyar, 12 tahun, tinggal bersama datuk dan neneknya.
Ibu saudara adik beradik itu, Nurainura Nadzim berkata, paling menyentuh perasaan perasaan apabila Daris bertanyakan kehilangan ibu dan ayahnya selepas melihat rakan-rakan lain dihantar ibu bapa masing-masing ke sekolah.
“Tambah sebak apabila melihat mereka adik beradik menatap foto ibu dan bapa mereka ketika Aidilfitri.
Jelas kerinduan mereka sukar ditanggung.
“Bagi meredakan keadaan itu, kami sentiasa meluangkan masa dan membawa mereka bercuti supaya mereka boleh merasakan pengalaman sama seperti orang lain yang mempunyai ibu bapa,” katanya.
Sudah sampai masa pinda undang-undang
Kuala Lumpur: Statistik purata kehilangan 6,000 nyawa di jalan raya setahun memerlukan pindaan serta penguatkuasaan undang-undang lebih berkesan.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Ikmal Hisham Md Tah berkata, perlu ada pindaan Seksyen 41 Akta JPJ 1987 dari segi penambahan hukuman penjara kepada kurang 20 tahun dan denda mungkin sehingga RM500,000 terutamanya bagi kemalangan serius atau membabitkan kematian.
Katanya, penguatkuasaan sedia ada perlu dipertingkatkan lagi termasuk pengaktifan kamera penguatkuasaan di lokasi terpilih.
“Boleh dipertimbangkan pengeluaran saman segera menerusi MYJPJ atau dalam Sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan makluman sampai kepada penerima saman.
“Dalam menurunkan kemalangan jalan raya kerajaan, boleh mempertimbangkan untuk diwujudkan undang-undang berkaitan kehilangan nyawa atau anggota badan kemalangan.
“Ketika ini undang-undang sedia menerusi Seksyen 41 membabitkan kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan membahayakan hanyalah hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda sebanyak RM20,000 hingga RM50,000 (Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020).
Jelasnya, perlu kajian khusus dan mendalam untuk mengadakan peruntukan diyat (suatu jumlah kadar tertentu harta dibayar oleh pihak yang menyebabkan berlakunya kematian atau kecederaan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja) ini dalam undang-undang negara supaya semua pihak dapat keadilan sewajarnya dan menambah baik sistem perundangan negara bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang membimbangkan sekarang.
“Melihat kepada angka kematian dalam kalangan penunggang motosikal, saya juga berpandangan satu peruntukan khusus berkaitan motosikal boleh dimasukkan dalam Akta JPJ sedia ada terutamanya dari segi keselamatan penunggang, pembonceng dan aspek-aspek berkaitan keselamatan.
“Walaupun akta ada menyebut mengenai perkara berkaitan motosikal, sedikit pindaan boleh dilakukan memandangkan kadar kemalangan membabitkan motosikal agak membimbangkan. Penggubal undang-undang boleh melihat dan berbincang supaya perkara ini dapat ditambah baik menerusi pindaan Akta JPJ dan undang-undang jalan raya berkaitan,” katanya.
Ikmal berkata, dia juga berpandangan bagi golongan muda, pendidikan undang-undang jalan raya harus dimulakan di sekolah. Mungkin dalam subjek tertentu seperti pendidikan sivik, kenegaraan atau kelab keselamatan jalan raya.
“Selain itu meningkatkan umur lesen dan juga pemantauan terhadap kurikulum memandu juga sangat penting bagi memastikan pemilik lesen kenderaan baru lulus ujian dan mematuhi syarat-syarat lalu lintas dengan baik,” katanya.
Leave a Reply