Suasana pilu selubungi pengkebumian tiga beranak mangsa kemalangan di Setiu
KOTA BHARU: Suasana pilu menyelubungi kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras di sini, malam tadi.
Ia selepas jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 53, Kampung Sungai Lerek, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu awal pagi tadi, selamat dikebumikan pada jam 9.40 malam.
Jenazah Kamarudin Ibrahim, 55, Maimumah Mat Isa, 54, dan anak mereka, Nur Ardiena Kamarudin, 30, dikebumikan dalam satu liang lahad.
Pengkebumian iga beranak itu dihadiri lebih 200 ahli keluarga dan kenalan yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada mereka.
Disyorkan
- Bin Zayed International komited labur AS$2 bilion di Malaysia
- Bin Zayed International tarik diri projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion
- Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia
- Pang Ron-Su Yin lakar sejarah ke final Masters China
Terdahulu jenazah tiga beranak itu tiba di perkarangan tanah perkuburan pada jam 9 malam.
Ketiga-tiganya dikafankan di Hospital Setiu, sebelum dibawa pulang ke rumah mereka di Lorong Merican, Telipot dan kemudian disembahyangkan di Masjid Sultan Muhammad II Telipot selepas solat Isyak.
Mohd Shahidin Ibrahim, 31, adik bongsu kepada Kamarudin berkata dia tidak sempat berjumpa dengan abangnya itu sebelum mereka sekeluarga bertolak ke Putrajaya pada Khamis lalu untuk menghadiri majlis konvokesyen, Nur Azwa Shamimi Kamarudin, 21.
“Sebelum ke Putrajaya, arwah abang bersama isteri dan dua anaknya singgah di rumah anak ketiga mereka, Ahmad Kamarul Syafiq Kamarudin, 26, yang tinggal di Jempol, Negeri Sembilan.
“Sebaik tiba di sana, arwah abang menghubungi saya untuk bertanyakan nombor telefon rakan kepada Ahmad Kamarul Syafiq disebabkan ketika itu tidak dapat menghubungi anaknya.
“Itulah kali terakhir saya bercakap dengan arwah abang sehinggalah pada pagi tadi menerima berita duka kemalangan yang menimpa mereka sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubur Maras.
Mohd Shahidin berkata selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu, dia bersama dengan anak-anak arwah abangnya bergegas ke Hospital Setiu untuk proses pengecaman mayat.
“Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan menyifatkan kejadian itu adalah ketentuan takdir.
Media hari ini melaporkan, tiga beranak maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 53, Kampung Sungai Lerek, Jalan Persekutuan Kuala Terengganu – Kota Bharu, awal pagi tadi.

Leave a Reply