PIALA AFF ASEAN 2024 | Pertembungan Malaysia-Singapura Dijangka Hangat

See more: Pertarungan 3 penjuru cari slot ke separuh akhir

Oleh Zulfaizan Mansor

zulfaizan@mediaprima.com.my

facebook sharing button
whatsapp sharing button
twitter sharing button
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente (kanan) perlu merencana strategi terbaik bagi menghadapi Singapura. - Foto FB FAM
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente (kanan) perlu merencana strategi terbaik bagi menghadapi Singapura. – Foto FB FAM

KUALA LUMPUR: Kemenangan Thailand ke atas Singapura, semalam mencetuskan pertarungan tiga penjuru antara Singapura, Malaysia dan Kemboja untuk merebut tiket ke pusingan separuh akhir Piala ASEAN 2024.

Satu tiket ke separuh akhir bagi Kumpukan A sudah sah menjadi milik Thailand selepas skuad Gajah Perang bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Singapura 4-2 dalam aksi dramatik di Stadium Nasional, Kallang.

Berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan, Thailand menghuni tangga teratas dengan mengumpul sembilan mata, tiga mata di depan Singapura di kedudukan kedua.

Kemboja yang menewaskan Timor Leste 2-1 di Phnom Penh, turut menghidupkan peluang untuk ke separuh akhir dengan mereka kini terikat empat mata bersama Malaysia.

Disyorkan

Keadaan itu menyaksikan debaran pasukan mana akan mengiringi Thailand ke separuh akhir bakal ditentukan pada perlawanan terakhir Kumpulan A, Jumaat ini.

Singapura boleh dianggap memiliki kelebihan kerana ketika ini mereka mendahului Malaysia dan Kemboja dengan dua mata dan skuad Singa hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri apabila berdepan Harimau Malaya.

Namun, harus diingat bahawa mereka tidak akan berdepan laluan mudah apabila perlu mengharungi aksi ‘penentuan’ di gelanggang keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Beraksi di ‘kandang’ sendiri dilihat menjadi kelebihan utama buat Harimau Malaya mencipta kemenangan dalam pertembungan itu selepas skuad kendalian Pau Marti Vicente berdepan prestasi tidak menentu sepanjang kejohanan.

Malah, Stadium Nasional dijangka akan dibanjiri puluhan ribu ‘ekor Harimau Malaya’ yang dilihat bersemangat untuk membantu skuad itu mencapai misi ke separuh akhir.

Berbeza dengan situasi Singapura, Malaysia wajib meraih kemenangan sambil mengharapkan Kemboja tidak melakukan kejutan besar ke atas Thailand untuk Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir.

Apa yang menariknya, selain terikat empat mata, Malaysia dan Kemboja yang seri 2-2 dalam aksi di Phnom Penh, 8 Disember lalu turut memiliki jumlah jaringan dan bolos yang sama.

Namun, tugas Kemboja dalam memburu slot ke separuh akhir jelas lebih mencabar apabila mereka perlu mengatasi Thailand yang juga juara bertahan di Stadium Rajamangala, Bangkok.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *