See more: Reformasi penjagaan kesihatan perlu dilaksana menyeluruh – FOMCA
Oleh Essa Abu Yamin

KUALA LUMPUR: Reformasi penjagaan kesihatan memerlukan pendekatan menyeluruh kerana langkah sementara seperti had kenaikan premium insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) tidak menyelesaikan isu asas secara tuntas.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, berkata strategi komprehensif yang didorong pengawasan kerajaan dan dasar berpusatkan pengguna amat penting.
Katanya, ia bagi memastikan penjagaan kesihatan kekal boleh diakses dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
“Walaupun langkah sementara itu bertujuan memberi kelegaan kepada pengguna, ia gagal menangani punca sebenar peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta serta isu struktur dalam sektor MHIT.
Disyorkan
- Culas bayar sewa, MBS tanggal pintu 3 rumah PPR
- Kekayaan keluarga Bashar Assad terbongkar
- Arwah mengadu penat, tak nak tebuk lagi…
- Desas-desus sertai PKR, ini penjelasan Tengku Zafrul
“Had kenaikan premium dicadangkan hanya langkah sementara yang menutup isu besar mengenai keuntungan berlebihan akibat kurangnya kawalan dan pengawalseliaan kerajaan ke atas sektor penjagaan kesihatan swasta,” katanya dalam satu kenyataan.
Saravanan berkata, kerajaan wajar melaksanakan peraturan ketat mengawal kos penjagaan kesihatan di hospital swasta dan memastikan ketelusan dalam penetapan harga perkhidmatan perubatan serta premium insurans.
Langkah itu, katanya, bagi memastikan akses penjagaan kesihatan saksama dan mengurangkan beban kewangan pengguna.
Beliau berkata, kerajaan boleh memberi keutamaan kepada pelaburan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan awam bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penyedia penjagaan kesihatan swasta.
“Agensi bebas boleh diwujudkan untuk memantau dan mengawal selia penyedia penjagaan kesihatan swasta serta syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) bagi mengelakkan eksploitasi dan memastikan amalan yang adil,” katanya.
Jelasnya, komitmen untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya Iima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada kesihatan awam, sejajar piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Pembabitan wakil pengguna dalam proses membuat keputusan berkaitan reformasi kesihatan untuk memastikan dasar berpusatkan kepentingan awam wajar diadakan.
“Mekanisme seperti subsidi insurans untuk kumpulan berpendapatan rendah dan had harga untuk perkhidmatan perubatan penting di fasiliti swasta juga boleh diperkenalkan,” katanya.
Saravanan berkata, langkah berkenaan tidak banyak membantu menangani kelemahan sistemik yang membolehkan hospital swasta dan ITO menjadikan penjagaan kesihatan sebagai industri berorientasikan keuntungan dan membebankan pengguna.
“FOMCA kerap menekankan kes yang mana premium insurans meningkat mendadak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Peningkatan itu membebankan pengguna, terutama mereka yang bergantung kepada penjagaan kesihatan swasta akibat kekangan dalam sistem kesihatan awam,” katanya.
Jelasnya, penjagaan kesihatan adalah hak asas dan bukan komoditi untuk dieksploitasi demi keuntungan.
Justeru, tegasnya, kerajaan mesti berperanan lebih besar dalam mengawal selia sektor penjagaan kesihatan swasta, termasuk mekanisme harga untuk perkhidmatan kesihatan dan premium insurans.
“Membiarkan hospital swasta dan ITO beroperasi tanpa kawalan akan memburukkan krisis kemampuan mendapatkan penjagaan kesihatan,” katanya.
Leave a Reply