Keseronokan bercuti di Hatyai musnah, anggota rombongan cuba seludup ganja

Keseronokan bercuti di Hatyai musnah, anggota rombongan cuba seludup ganja

Aizat Sharif

am@hmetro.com.my

facebook sharing button

Kangar: Percutian sebuah keluarga ke Hatyai, Thailand yang diharapkan menjadi kenangan terindah berakhir dengan nasib malang selepas salah seorang daripada anggota rombongan ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis ganja ke negara ini di Padang Besar pada awal Disember lalu.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang pada 2 Disember itu, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van pelancong jenis Toyota Commuter bernombor plat Thailand yang baharu tiba di Lorong Import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar.

“Pemeriksaan kita mendapati van yang dipandu oleh seorang warga Thailand berusia 23 tahun itu membawa lapan orang penumpang warga tempatan yang terdiri daripada sebuah keluarga termasuk sepasang warga emas dan seorang kenalan kepada anak keluarga berkenaan di mana berusia 21 hingga 71 tahun dan berasal dari Johor.

“Mereka kemudian diarahkan untuk turun daripada van dan membawa segala bagasi milik mereka untuk dilakukan pemeriksaan dan pada masa yang sama, kita mendapati terdapat sebuah beg plastik berzip berwarna biru yang diletakkan di atas tempat duduk penumpang di barisan paling belakang tidak dibawa turun bersama dan apabila diperiksa, kita menemui dua botol ketulan tumbuhan disyaki dadah jenis ganja seberat 10 gram di dalamnya yang kita percaya cuba dibawa masuk ke negara ini,” katanya.

Katanya, susulan itu semua penumpang termasuk pemandu van berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal kita mendapati beg berkenaan adalah milik kenalan kepada anak lelaki keluarga berkenaan yang turut mengikuti percutian keluarga itu selama empat hari tiga malam.

“Sepanjang percutian di Hatyai itu, kenalan berkenaan yang berusia 30 tahun itu mengunjungi salah sebuah kedai menjual ganja yang banyak terdapat di Hatyai.

“Walaupun diketahui bahawa membawa atau memiliki ganja itu masuk ke negara ini adalah salah di sisi undang-undang, suspek tetap meneruskan hasratnya itu dan cuba mengaburi anggota kastam dengan meletakkan botol ketulan tumbuhan ganja itu bersama bungkusan makanan dan minuman yang lain,” katanya.

Ismail berkata, semakan mendapati ganja yang dirampas itu hanya bernilai RM200 sahaja.

“Tindakan suspek itu turut menyebabkan orang lain yang bersama dengannya turut terpalit dan terpaksa disiasat sebelum dibebaskan dan perlu diingatkan di sini bahawa apa sahaja bahan yang menyalahi undang-undang negara ini yang cuba dibawa masuk boleh dikenakan tindakan dan hukuman berat.

“Pasangan warga emas yang berusia 67 dan 71 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Kastam sebanyak RM500 seorang dan turut dibebaskan adalah ahli rombongan lain dengan jaminan Kastam sebanyak RM300 seorang manakala pemandu van pelancong itu juga dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,000.

“Suspek pula ditahan selama dua hari sebelum diberi jaminan mahkamah sebanyak RM3,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Disiarkan pada: Disember 13, 2024 @ 2:27pm

Ismail Hashim
Ismail Hashim

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *