Rasuah projek Melaka River Cruise, bekas CEO PPSPM dipenjara 2 tahun, denda RM1.3 juta
AYER KEROH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Mohd Fariz Mohd Ali, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana menerima rasuah bagi kontrak kerja pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC), tujuh tahun lalu.
Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan didapati bersalah serta disabitkan atas empat pertuduhan pindaan.
Menurutnya, sepanjang prosiding pembelaan hanya dua saksi memberi keterangan iaitu Mohd Fariz, 42, dan adiknya dan tertuduh antara lain menafikan dia menerima wang rasuah berkenaan, tidak berada di tempat serahan wang selain mendakwa tempat cuci kereta seperti dalam pertuduhan tidak wujud.
“Tertuduh juga menafikan pernah membantu syarikat LEC Impresssions Sdn Bhd mendapatkan projek kepada PPSPM serta mendakwa dokumen kewangan syarikat berkenaan dan transaksi kepada seorang lelaki bernama Osman tidak selari seperti jumlah dipertuduhkan.
Disyorkan
- Israel bebas lakukan jenayah kerana tiada tanggungjawab antarabangsa
- Musa Aman bakal TYT baharu Sabah?
- Hannah jawab insiden Zii Jia pakai Jalur Gemilang terbalik
- Tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan saman – Peguam bapa bayi ‘ditahan’ di hospital
“Selepas mendengar keseluruhan keterangan saksi, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah untuk mematahkan anggapan mengikut Seksyen 51 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
“Tertuduh didapati bersalah dan disabitkan terhadap keempat-empat pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama,” katanya.
Elesabet menjatuhi tertuduh dua tahun penjara dan denda RM500,000 bagi pertuduhan pertama; penjara dua tahun, denda RM400,000 bagi pertuduhan kedua serta masing-masing penjara setahun dan denda RM250,000 serta RM150,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
Beliau menetapkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh hukuman hari ini serta memerintahkan tertuduh dipenjara 32 bulan jika gagal membayar denda.
Mengikut keempat-empat pertuduhan pindaan, tertuduh yang berjawatan Pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk (PPSPM) ketika kejadian, secara rasuah menerima suapan tunai berjumlah RM260,000 daripada CEO Syarikat LEC Impressions Sdn Bhd.
Ia sebagai dorongan mencadangkan syarikat berkenaan untuk memperoleh projek membekal 10 bot Melaka River Cruise kepada PPSPM dan semua kesalahan itu dilakukan dalam empat perjumpaan berasingan bersama wakil syarikat, Osman Abdul Rahman di dua lokasi berbeza sekitar daerah Melaka Tengah antara 4 Januari hingga 15 November 2017.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Pegawai Pendakwa, Nur Syakila Yaacob memohon hukuman berat dikenakan atas kepentingan awam serta sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Katanya, pihak pendakwaan sangat tidak bersetuju hujah peguam bahawa kesalahan rasuah dilakukan tertuduh yang ketika kejadian penjawat awam iaitu Pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk (PPSPM) di bawah kerajaan negeri Melaka adalah kes kecil.
“… mengambil kira jawatan dipegang tertuduh ketika kejadian, dia seharusnya bekerja dengan lebih telus dan berintegriti dan tidak mengkhianati kepercayaan kerajaan negeri.
“Tertuduh mengambil kesempatan dengan memperoleh rasuah berjumlah keseluruhan RM260,000, justeru pendakwaan mohon hukuman berat dikenakan,” katanya sambil menambah semua rayuan tertuduh adalah berkait kepentingan peribadi yang sepatutnya difikirkan sebelum melakukan kesalahan.
Tertuduh yang diwakili peguam Hamidi Mohd Noh dan Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan merayu hukuman ringan atas beberapa alasan termasuk itu kesalahan pertamanya, menjaga ibu bapa yang uzur serta anak dan isteri tidak bekerja.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu selepas dipohon peguam bagi membuat rayuan dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM60,000.

Leave a Reply