MAHKAMAH | Pembelaan Tuduhan Rasuah RM2.2 Bilion, Rayuan Tahanan Rumah Najib Bermula Hari Ini

Najib bakal mulakan pembelaan tuduhan rasuah babit RM2.2 bilion, rayu tahanan rumah

Gambar fail - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) diiringi pegawai penjara meninggalkan kawasan mahkamah di Kuala Lumpur selepas selesai proses prosiding pada 19 Januari lalu. - Foto REUTERS
Gambar fail – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) diiringi pegawai penjara meninggalkan kawasan mahkamah di Kuala Lumpur selepas selesai proses prosiding pada 19 Januari lalu. – Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memulakan pembelaannya minggu depan terhadap tuduhan rasuah membabitkan lebih AS$500 juta (RM2.2 bilion) selain merayu untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah berkaitan skandal dana kekayaan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), turut berdepan beberapa kes lain dikaitkan dengan skandal kewangan yang menyebabkan kekalahan beliau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Di Mahkamah Tinggi, Najib, 71, akan membela diri terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa yang membabitkan rasuah bernilai RM2.27 bilion (AS$510 juta) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Kes berkenaan membabitkan Tanore Finance Corp, yang menurut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), digunakan untuk menyeleweng dana daripada 1MDB.

Disyorkan

Pada Oktober lalu, Najib memohon maaf kerana skandal 1MDB berlaku ketika pentadbirannya, namun menegaskan beliau tidak tahu mengenai pemindahan wang secara haram daripada dana milik negara itu yang kini tidak lagi beroperasi.

Sekiranya disabitkan bersalah, Najib berdepan denda besar dan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa.

Ketua pasukan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan kini lebih bersemangat untuk melawan kes terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mahkamah Rayuan pada Khamis ini akan mendengar cabaran Najib terhadap keputusan mahkamah lebih rendah yang menolak permohonannya untuk menjalani tahanan rumah.

Permohonan semakan kehakiman itu memfokuskan kepada dakwaan wujudnya perintah daripada bekas Yang di-Pertuan Agong yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib memohon mahkamah untuk mengarahkan kerajaan mengesahkan kewujudan perintah diraja itu dan melaksanakannya.

Namun, mahkamah pada Julai lalu memutuskan bahawa afidavit menyokong dakwaan Najib tidak boleh diterima sebagai bukti kerana ia bersifat keterangan dengar cakap.

Dokumen berkenaan tidak pernah didedahkan kepada umum dan tiada kenyataan diberikan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, yang tamat tempoh jawatan pada Januari lalu.

Sekiranya Mahkamah Rayuan memihak kepada Najib, kes itu akan dikembalikan ke mahkamah lebih rendah.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib boleh mendapat manfaat daripada undang-undang baharu yang dicadangkan, yang membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu tahun depan.

Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menafikan rang undang-undang itu dibuat khusus untuk membebaskan Najib daripada penjara.

Peguam Andrew Khoo berkata Najib berdepan cabaran besar dalam usahanya memohon tahanan rumah, memandangkan beliau dihukum atas kesalahan serius.

“Ia akan memberikan mesej yang salah kepada masyarakat umum bahawa individu yang disabitkan dengan kesalahan berat boleh menjalani hukuman penjara dari rumah,” katanya kepada AFP.

Tuduhan bahawa berbilion ringgit diseleweng daripada 1MDB untuk membeli segala-galanya, daripada kapal layar mewah hingga karya seni, menjadi punca utama kekalahan Najib dan parti UMNO dalam PRU 2018.

Skandal 1MDB mencetuskan siasatan di AS, Switzerland dan Singapura, yang sistem kewangannya dipercayai digunakan untuk membersihkan wang terbabit.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa lebih AS$4.5 bilion (RM20 bilion) diseleweng daripada 1MDB antara 2009 dan 2015 oleh pegawai kanan dana itu dan sekutu mereka.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada Ogos 2022 atas kesalahan berkaitan penyelewengan dana SRC International, anak syarikat 1MDB.

Hukuman itu kemudiannya dikurangkan separuh oleh Lembaga Pengampunan Malaysia. Sejak itu, Najib meraih beberapa kemenangan dalam kes undang-undang.

Pada 27 November lalu, mahkamah di negara ini membenarkan pertuduhan rasuah dalam salah satu daripada lima kes berkaitan 1MDB digugurkan terhadapnya.

Pertuduhan itu berkaitan pembayaran lebih AS$1 bilion (RM4.45 bilion) yang didakwa dibuat kepada Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) milik Abu Dhabi.

Satu lagi pertuduhan berkaitan pemalsuan audit berakhir dengan pembebasan pada 2023.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *