See more: Larangan rentas sempadan guna pangkalan haram Sungai Golok: Belum ada tangkapan – Polis
Siti Rohana Idris

TUMPAT: Belum ada tangkapan dilakukan selepas undang-undang berkuat kuasa mulai hari ini untuk menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ia berikutan situasi bencana banjir ketika ini yang menyebabkan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok turut tenggelam.
“Buat masa ini, pangkalan haram tidak nampak kerana banjir dan daripada pemantauan kami, hanya ada bot pancung yang keluar masuk di Sungai Golok dikatakan untuk hantar bantuan banjir.
“Bagaimanapun, pemantauan di sempadan tetap dilakukan kerana musim banjir dianggap sebagai akses mudah untuk penyeludup keluar masuk tanpa memikirkan risiko,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Surau Ar Rasyidin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang dijadikan PPS dengan menempatkan 195 mangsa banjir daripada 83 keluarga.
Media sebelum ini melaporkan individu yang menggunakan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan negara akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155).
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, lebih 500 kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh Kelantan meliputi keluarga mereka, terjejas banjir.
Meskipun terkesan banjir, beliau berkata, misi penugasan termasuk operasi pemindahan mangsa banjir, tetap dijalankan oleh anggota serta pegawai bertugas.
“Walaupun terkesan dengan banjir, anggota tetap bertugas dan dikerahkan untuk operasi, manakala keluarga dipindahkan ke PPS.
“Selain terbabit operasi memindahkan mangsa banjir, anggota di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terkesan banjir turut dikerah menjalankan rondaan cegah jenayah.
“Setakat ini, 10 balai polis di Kelantan terjejas banjir, iaitu enam di Pasir Mas, dan masing-masing dua di Tumpat serta Kota Bharu,” katanya.
Leave a Reply