See more: Delegasi Hamas mahu adakan rundingan gencatan senjata di Kaherah

GAZA: Wakil Hamas akan ke Kaherah hari ini bagi mengadakan rundingan berhubung kemungkinan gencatan senjata di Gaza, kata seorang pegawai kumpulan pejuang Palestin itu kepada AFP.
“Delegasi Hamas akan ke Kaherah untuk beberapa pertemuan dengan pegawai Mesir bagi membincangkan cadangan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan di Semenanjung Gaza,” kata pegawai itu yang enggan dikenali kerana membabitkan isu sensitif.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas gencatan senjata antara Israel dan kumpulan Hizbullah dari Lubnan, yang juga sekutu Hamas, mula berkuat kuasa.
Amerika Syarikat (AS) turut mengumumkan usaha diplomatik baharu bersama Qatar, Turkiye dan Mesir bagi mencapai gencatan senjata di Gaza serta pembebasan tebusan yang diculik semasa serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan konflik.
Disyorkan
- Selamatkan 4 remaja hampir lemas, anggota tentera dinaikkan pangkat Staf Sarjan
- Amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di 3 negeri hingga Jumaat
- JDT lawan 14 pemain – Insa
- Tumpat daerah terbaru di Kelantan dilanda banjir
Serangan itu mengakibatkan 1,207 orang terbunuh, kebanyakannya orang awam, menurut angka rasmi Israel yang dikumpul AFP.

Serangan balas tentera Israel telah menyebabkan 44,363 orang terkorban di Gaza, berdasarkan angka daripada kementerian kesihatan wilayah itu yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 7 Oktober, seramai 251 tebusan turut ditawan, dan 97 dipercayai masih berada di Gaza, termasuk 34 individu, yang menurut tentera Israel, telah meninggal dunia.
Gencatan senjata yang dicapai pada November 2023 sebelum ini menyaksikan kira-kira 100 tebusan dibebaskan oleh Hamas dan sekutunya, sebagai pertukaran dengan 240 tahanan Palestin di penjara Israel.
AS, Qatar dan Mesir telah mengetuai beberapa usaha sejak awal tahun ini untuk mencapai gencatan senjata baharu dan pembebasan tebusan, namun kesemuanya gagal setakat ini. – AFP
Leave a Reply