Ikut macam Siti, pesan Mummy Didie kepada teman artis

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara popular, Didie Alias mengkritik sikap segelintir penggerak industri kreatif yang didakwa mencemarkan nama baik sektor itu dek terkait dengan kontroversi.
Didie atau nama sebenar, Fadzilah Mohd Ali, 52, menyifatkan mereka yang melakukan perbuatan seperti itu tidak berfikir waras kerana ibarat menabur pasir dalam periuk nasi sendiri selain memalukan diri dan keluarga.
“Engkau hendak masuk dalam industri seni memang senang sebab sekarang ada media sosial.
“Buat hal sahaja terus tular dan jadi pelakon atau pelawak. Tetapi engkau tinggalkan kenangan, bukan manis, tetapi pahit.
Disyorkan
- Suasana pilu selubungi pengkebumian tiga beranak mangsa kemalangan di Setiu
- Suasana pilu selubungi pengkebumian tiga beranak mangsa kemalangan di Setiu
- Kadet PALAPES UiTM meninggal dunia akibat strok haba
- Nahas 3 beranak: Pemandu bakal nikah bulan depan
“Kalau rasa hendak buat benda tidak senonoh, usah masuk industri (seni) aku. Kalau hendak buat sesuatu, fikir dua atau tiga kali sebelum buat.
“Kena fikir keluarga, anak dan isteri. Apa perasaan mereka kalau engkau buat benda tidak baik dan satu Malaysia tahu?
“Dahulu nak masuk industri seni kena hadir uji bakat dan sebagainya… Teruk dulu. Saya sampai kena pukul dengan arwah bapa sebab hendak jadi pelakon.
“Jadi, bila sudah capai cita-cita tu, buktikan yang kerja ini mampu tanggung keluarga. Kita berikan kebahagiaan kepada mereka,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Didie Alias x SB Parfum Diva Collection di sini, semalam.
Sementara itu, pemenang trofi Artis Komedi Wanita, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak tiga kali itu berharap mereka yang mahu menceburkan diri dalam dunia seni agar pandai menjaga nama baik. Mereka juga digalak menjadikan perjalanan seni Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai contoh.
“Ambil contoh Siti Nurhaliza yang baru-baru ini diiktiraf Biduanita Negara. Saya kenal dia dari umur belasan tahun lagi. Cuba lihat bagaimana dia membawa diri sampailah berada pada tahap sekarang.
“Macam saya sendiri, sudah hampir empat dekad dalam bidang seni. Datanglah selebriti muda yang lebih lawa dan sebagainya, namun, syukur Alhamdulillah, saya masih di sini bersama identiti sendiri.
“Jadi, kepada penggiat seni, kena sedar mereka dikenali. Netizen pun laju buat kerja. Sekali buat silap, mereka boleh bongkar identiti kita sekelip mata sahaja.
“Jangan tersalah buat sebab kalau tersilap langkah, boleh memakan diri sendiri. Kawal lah nafsu. Pegang tanggungjawab dan gelaran selebriti itu dengan sebaik mungkin,” pesannya.
Leave a Reply