Terkandas kerana banjir, dua beranak hampir terlepas tunai umrah

RANTAU PANJANG: Anggota bomba dan Penyelamat Rantau Panjang membantu dua beranak yang terkandas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu, untuk menunaikan umrah.
Mangsa, Norizan Mohammad, 60 dan anaknya, Amalina Mohd Salleh, 28, akan menaiki kapal terbang pada jam 10 malam ini, ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bergerak menunaikan umrah kali pertama pada 1 Disember.
Norizan berkata, mereka buntu memikirkan cara untuk ke lapangan terbang selepas dimaklumkan jalan utama Rantau Panjang – Pasir Mas (Kalbok 5) sudah dinaiki air pagi tadi dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa.
“Kami kemudian terus bersiap membawa semua beg ke Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang untuk meminta bantuan dan Alhamdulillah, anggota membantu membawa kami meredah jalan yang dinaiki air menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Disyorkan
- Kes buli: 5 pegawai kadet dibuang, wajib bayar pampasan
- Datuk Vida akan cabar tuntutan perintah sita – Peguam
- Nahas 3 beranak: Pemandu bakal nikah bulan depan
- Guru dikhuatiri lemas di Sungai Pahang
“Sebaik sampai di Pasir Mas kami menaiki kereta saudara yang sedia menunggu untuk menghantar kami ke LTSIP. Perancangan asal kami mahu bergerak selepas waktu Asar, tetapi kerana bimbang paras banjir semakin tinggi kami mengambil keputusan untuk bergerak awal.
“Alhamdulillah, rumah kami bebas daripada banjir kerana kedudukan yang tinggi, jadi kami boleh menunaikan ibadah sepanjang umrah dengan tenang,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, di sini, hari ini.
Norizan berkata, mereka dua beranak akan ke rumah seorang lagi anaknya di Cyberjaya, sebelum bergerak menunaikan Umrah pada 1 Disember.
“Ini adalah umrah pertama kami dua beranak, dan tidak sangka akan melalui pengalaman sebegini. Tetapi, kami bersyukur kerana sekarang sudah selamat dan berdoa semoga bah di Rantau Panjang segera pulih.
“Pengalaman ini akan kami ingat sampai bila-bila dan insya-Allah kami akan mendoakan yang terbaik kepada semua penduduk yang terbabit banjir di Tanah Suci Makkah nanti.
“Terima kasih kepada semua anggota penyelamat yang membawa kami keluar daripada kawasan terkepung banjir, tak dapat bayangkan bagaimana perasaan jika terlepas penerbangan ini,” katanya.
Leave a Reply