‘Dia sudah berjalan keluar, tetapi patah balik untuk bersalam’ – Ibu Nurulhuda
Kuala Lumpur: “Dia sudah berjalan keluar tetapi berpatah balik dan hulur tangan untuk bersalam dengan saya. Saya kata apa kena dengan engkau,” kata Norleha Abdullah.
Warga emas terbabit adalah ibu kepada Nurulhuda Ramli, 41, seorang daripada empat mangsa yang maut dalam kemalangan berhampiran pusat komersil di Putrajaya, pagi hari ini.
Menurut Norleha, 71, anaknya yang juga mesra dipanggil adik atau Ecah itu berselera makan daging masak kicap yang dimasaknya.
“Semalam ada kawannya telefon untuk ajaknya keluar dan kemudiannya dia minta izin untuk keluar serta beritahu akan balik lambat,” katanya.
- Peniaga ayam goreng kunyit RM20 didenda RM10,000
- Budak perempuan jatuh basikal sudah meninggal dunia
- 39 guru, kanak-kanak tadika terperangkap kepala air di Gua Ikan diselamatkan
- Johor pertimbang kerja 4 hari setengah seminggu bagi sektor awam
- Dewan Rakyat kecoh, Anwar tinggalkan dewan
Menurutnya, dia dan anaknya sepatutnya pulang ke kampungnya di Sarawak yang dijadualkan pada hujung tahun ini.
Katanya, dia sekeluarga tiada kesempatan lagi untuk pulang ke kampungnya di Kampung Kakai di Serian sejak pandemik Covid-19.
“Perancangan kami sebenarnya mahu balik bercuti di kampung beramai-ramai, cadangnya pada hujung tahun ini dengan abang arwah yang menguruskan perjalanan nanti.
“Tak tahulah nanti perancangan ini nanti bagaimana,” katanya sambil mengusap air mata kerana kehilangan anak bongsunya itu.
Menurutnya, dia juga terkilan kerana tiada pihak memaklumkan mengenai kemalangan menimpa anaknya itu lebih awal.
Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa anaknya itu menjelang Zohor tadi selepas dimaklumkan oleh anak angkatnya.
“Saya dapat tahu mengenai kemalangan itu daripada anak angkat yang baru balik kerja.
“Dia tinggal di unit atas di sini sebelum datang mengetuk pintu rumah dan beritahu anak saya meninggal dunia dalam kemalangan.
“Saya cakap biar betul, saya tak percaya…dia kemudiannya tunjukkan mengenai berita kejadian termasuk gambar MyKad anak saya menerusi telefonnya,” katanya.
Leave a Reply