TRAGEDI | Anak Temui Mayat Bapa Di Belukar

Remaja ikut kesan tapak kasut sebelum temui mayat bapa tertiarap dalam belukar

Oleh Rosli Ilham 

bhnews@bh.com.my

facebook sharing button
whatsapp sharing button
twitter sharing button
Anggota polis mengangkat mayat Zulkifli Awi yang ditemui anaknya dalam keadaan tertiarap dalam belukar di Kampung Durian Mentangau, Dungun. - Foto ihsan pembaca
Anggota polis mengangkat mayat Zulkifli Awi yang ditemui anaknya dalam keadaan tertiarap dalam belukar di Kampung Durian Mentangau, Dungun. – Foto ihsan pembaca

DUNGUN: “Luluh hati sebaik mendapati mayat itu adalah ayah saya.”

Itu kata-kata Mohd Firdaus Daniel Zulkifli, 18, yang menemui mayat bapanya, Zulkifli Awi, 54, tertiarap dalam belukar di Kampung Durian Mentangau, dekat sini, hari ini.

Mohd Firdaus Daniel yang tinggal bersama bapanya di Kampung Balai Besar berkata, dia menemui mayat bapanya itu kira-kira jam 12 tengah hari.

“Ayah bekerja sebagai pengutip besi buruk keluar rumah kira-kira jam 6 pagi semalam.

Disyorkan

Mohd Firdaus Daniel Zulkifli menceritakan penemuan mayat ayahnya. - Foto Rosli Ilham
Mohd Firdaus Daniel Zulkifli menceritakan penemuan mayat ayahnya. – Foto Rosli Ilham

“Biasanya dia akan balik makan tengah hari… selepas jam 7 malam, saya semakin risau bila dia tidak pulang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, dia cuba menghubungi telefon bimbit bapanya itu namun tidak dijawab sebelum pergi ke tempat kerja bapanya pagi tadi.

“Ayah tak ada di tempat kerja. Tidak lama selepas itu saya dihubungi rakan ayah yang menemui kereta ayah di Kampung Durian Mentangau.

“Saya bersama dua rakan menemui kereta ayah sebelum mengikut kesan tapak kasut dipercayai milik ayah sebelum menemui ayah tertiarap dan tidak lagi bernyawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi berkata, polis yang menerima laporan bergegas ke tempat kejadian dan siasatan mendapati kematian mangsa tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *