TAHUN MELAWAT SELANGOR 2025 | Tourism Selangor Lancar TMS 2025, Sasar 8 Juta Pelancong

Selangor yakin terima 8 juta pelancong sepanjang TMS 2025

Zeanaaima Mohd Yusof

Tahun Melawat Selangor 2025 dilancarkan secara rasmi menerusi penganjuran festival dan konsert di Setia City Park, Setia Alam, Selangor selama tiga hari berakhir hari ini.

Free Malaysia Today
Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Ng Suee Lim (empat dari kiri) menyaksikan video dan portal digital kempen TMS 2025 sempena pelancarannya semalam.

SHAH ALAM: 

Tourism Selangor yakin mampu menerima sekurang-kurangnya lapan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025.

Menurutnya, ia akan dibantu oleh pelbagai kempen dan inisiatif promosi yang dilakukan lebih giat menerusi peruntukan RM8 juta diterima daripada kerajaan negeri.

“Antara insiatif itu termasuk acara Art of Speed Malaysia dan Selangor Travel Fair selain pemberian geran kepada operator pelancongan tempatan, serta usaha pemasaran meluas di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, TMS 2025 dilancarkan secara rasmi menerusi penganjuran festival dan konsert di Setia City Park, Setia Alam, Selangor yang diadakan tiga hari berakhir hari ini.Play

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar Selangor Amiruddin Shari semalam, yang turut melancarkan video dan portal digital kempen visitselangor2025.my.

Turut diperkenalkan pada acara itu ialah maskot rasmi TMS 2025, SPARK the Fireflies selain lagu tema rasmi dipersembahkan buat kali pertama secara langsung oleh penyanyi terkenal Aizat Amdan dengan diiringi persembahan flash mob.

Pengunjung yang hadir juga dihiburkan persembahan artis popular seperti Cakra Khan, Amy Search, Ameng Spring, Zubir Khan serta Suki Low.

Sejak kelmarin, pengunjung juga berpeluang membawa keluarga masing-masing berkunjung ke Love Food Festival yang menampilkan 70 gerai menawarkan 60 makanan viral Selangor, pameran pelancongan dan pelbagai aktiviti menarik.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Ng Suee Lim berkata, kempen dengan slogan ‘Selangor Kan Ada!’ itu akan menjadi keutamaan kerajaan negeri tahun depan yang diharap dapat memacu ekonomi Selangor khususnya dalam sektor pelancongan.

Katanya, sempena TMS 2025 juga, duti hiburan bagi pameran bertiket akan dikurangkan daripada 25% kepada 15% .

“Kerajaan negeri juga mengecualikan duti hiburan secara penuh bagi artis tempatan akan diteruskan manakala artis antarabangsa pula, duti hiburan akan dikurangkan dari kadar 25% kepada 10%,” katanya pada pelancaran TMS 2025.

Terdahulu, beliau turut menyempurnakan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Selangor dan CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO) dan AVIS Malaysia sebagai rakan kongsi sepanjang kempen berkenaan.

Antara rakan strategik lain adalah ANBOT Store, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Courtyard by Marriott Setia Alam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *