JENAYAH | Pecah Masuk Kedai Runcit Bersenjata Lastik Di Kota Belud

Pecah masuk kedai runcit bersenjata lastik

bhnews@bh.com.my

facebook sharing button
whatsapp sharing button
twitter sharing button
Tangkap layar dari video yang tular menunjukkan dua lelaki menggunakan lastik merompak sebuah kedai runcit di Kota Belud.- Foto media sosial
Tangkap layar dari video yang tular menunjukkan dua lelaki menggunakan lastik merompak sebuah kedai runcit di Kota Belud.- Foto media sosial

KOTA BELUD: Polis menahan seorang lelaki hari ini, bagi membantu siasatan berkaitan video yang memaparkan dua lelaki bertindak memecah masuk sebuah kedai runcit di daerah ini, dengan menggunakan senjata lastik.

Suspek warga tempatan berusia 34 tahun ditahan polis di rumahnya di Kampung Kuala Abai, di sini pada jam 4.47 petang susulan video itu tular di media sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya terkesan satu video berdurasi 59 saat tular berkaitan rompakan yang memaparkan dua lelaki memakai topi keledar menggunakan senjata lastik bertindak memecah masuk sebuah kedai runcit yang dikongsikan melalui laman sosial Facebook.

Katanya, hasil daripada siasatan polis mendapati kejadian berlaku jam 4 pagi, pada 11 Disember lalu di sebuah premis tanpa nama di pekan daerah ini.

Disyorkan

“Dua lelaki itu berjaya mengambil sejumlah wang yang diletakkan di dalam laci premis berkenaan dan berlaku pergelutan antara kedua lelaki terbabit bersama mangsa namun tiada kecederaan serius terhadap mangsa dilaporkan.

“Bertindak atas maklumat, seorang lelaki warga tempatan ditahan petang tadi bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Katanya, mana-mana saksi awam yang melihat kejadian diminta untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Izhafizan Haron di talian 014-6318003.

“Justeru itu, polis ingin menasihatkan kepada orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan kes ini yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *